• Syahrir Azfar bin Saleh

13.4 Juta Rakyat Syria Masih Memerlukan Bantuan Kemanusiaan

Updated: Apr 9

Bahagian III : Kemusnahan Peperangan Berusia Satu Dekad

Satu dekad berlalu dan konflik kemanusian masih berlanjutan di Syria. Sehingga Disember 2020, Syrian Observatary for Human Rights melaporkan angka kematian sudah mencecah seramai 593,000 orang. Data sehingga Januari 2021 pula menunjukkan sekitar 13.4 juta rakyat Syria (hampir 75% daripada populasi Syria) memerlukan bantuan kemanusiaan. Ia diburukkan lagi dengan penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia. 90% rakyatnya kini hidup di bawah paras kemiskinan yang parah dengan pendapatan hanya USD1.25 sehari. Nilai matawang Syria pula dilaporkan merosot sehingga 78% hanya dalam tempoh setahun. Harga makanan keperluan harian dilaporkan meningkat sehingga 286%! 12.4 juta kini berhadapan dengan desakan untuk mendapatkan keperluan asas makanan mereka. Keperluan mendesak yang lain adalah akses yang sangat terhad kepada kemudahan kesihatan dengan hanya 58% hospital dan 53% pusat kesihatan yang kini berfungsi dan boleh beroperasi. Sejumlah 5.9 juta rakyat Syria kini memerlukan tempat berlindung (rumah).


Penulis ketika Misi Bantuan Musim Sejuk kepada pelarian Syria yang berada di Arsal, Lubnan

Rakyat Syria kini benar-benar berada di dalam keadaan yang terdesak. Mereka memerlukan akses segera kepada makanan yang bernutrisi, sokongan untuk memulakan semula kehidupan di samping keperluan tempat berlindung yang selamat dan mempunyai akses kepada kemudahan-kemudahan asas seperti air bersih dan sanitari.

Seandainya anak kita lahir di Syria pada tahun 2011, maka di usia mereka yang kesepuluh tahun, mereka mungkin di antara 2.6 juta kanak-kanak yang terpaksa berpindah randah di dalam Syria dan menghuni khemah-khemah pelarian di dalam Syria (internally displaced person), atau terdiri daripada 2.5 juta kanak-kanak yang terpaksa mendapatkan perlindungan di negara asing malah mungkin menjadi dari kalangan 2.4 juta anak-anak Syria lain yang tidak pernah melalui proses pendidikan formal di sekolah. Mereka tidak mengenal abjad mahupun mengira.


Sekumpulan kanak-kanak di Madrasah Jeelul Quran tajaan Malaysia for Syria menunggu waktu untuk berbuka puasa.

Laporan daripada UNICEF mengatakan 1 daripada 3 sekolah di Syria tidak lagi boleh digunakan samada musnah akibat peperangan, rosak atau digunakan sebagai penempatan sementara malah menjadi markas ketenteraan. UNICEF mengatakan sekurang-kurangnya 700 serangan ke atas fasiliti pendidikan di Syria dengan 52 serangan berlaku pada tahun 2020 sahaja!

Laporan juga menyebutkan bahawa 27% kanak-kanak di Syria kini berhadapan dengan tekanan psikologi, peningkatan hampir separuh daripada yang dilaporkan sebelum ini (14%). Bayangkan sahaja segalanya ini perlu dilalui oleh anak-anak kita, dan bagaimana pula keadaan kita sebagai ibu dan ayah yang perlu melalui hari-hari yang penuh mencabar sebagai mangsa peperangan yang tidak berkesudahan.

Syria dalam jangka masa panjang akan berhadapan dengan satu krisis generasi yang hilang (lost generation) kerana anak-anak Syria ini tidak disediakan dengan sistem pendidikan yang baik malah tidak melalui sebarang proses pendidikan yang formal. Adab pergaulan mereka akan hilang, sebarang tindakan tidak dipandu dengan pemikiran yang berlandaskan ilmu, jenayah akan berleluasa dan pelbagai lagi gejala- gejala generasi yang hilang apatah lagi perlu melalui episod-episod trauma akibat peperangan yang menggila. Mereka hilang hak untuk hidup sebagai seorang kanak- kanak biasa dan mereka tiada pilihan selain terpaksa untuk menghadapinya.


Anak-anak pelajar di Madrasah Jeelul Quran di Pinggir Bandar Aleppo.

Saat penulis menyoroti fakta dan data terkini konflik Syria yang dikeluarkan dari pelbagai sumber seperti PBB, International Committee of Red Cross (ICRC) dan Human Rights Watch (HRW) ini, penulis menyedari betapa dahsyatnya kesan sesebuah peperangan dan benar-benar merasai syukur di atas nikmatnya sebuah keamanan, kedamaian dan juga kebebasan yang kita kecapi di bumi bertuah Malaysia.

IKUTI BAHAGIAN TERAKHIR, PENULIS MENGUTARAKAN REFLEKSI DAN IBRAH YANG BOLEH KITA SAMA-SAMA TELADANI DARI KEMUSNAHAN DAN JUGA TRAGEDI KEMANUSIAAN AKIBAT KONFLIK PEPERANGAN DI SYRIA.

*Penulis merupakan Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysia for Syria merangkap Ketua Pegawai Operasi Global Peace Mission (GPM) Malaysia yang berpengalaman menghantar Misi Bantuan Kemanusiaan ke Syria semenjak tahun 2012.

Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun : MALAYSIAN LIFE LINE FOR SYRIA BERHAD

Maybank : 564810513971 Bank Islam : 14210010009882 Atau layari www.infaksyria.com


Penulis bergambar di kawasan perumahan at-Thom, Aleppo yang musnah diserang.


Penulis di hadapan salah sebuah masjid di bandar Ma’arratun Nu’man, Idlib.



Penulis di hadapan sisa rumah yang musnah diserang oleh bom di Bandar Lama Aleppo, Syria.



Agihan makanan panas kepada pelarian Syria yang berada di Kem Pelarian Arsal, Lubnan menggunakan Mobile Aid Truck, Malaysia for Syria.

66 views0 comments