• Rohaidiana Rosly

“Cantik jaket kamu, aku harap ada sehelai untuk aku pakai..”


















Sukarelawan Malaysia for Syria ketika sedang mengagihkan bantuan kotak makanan buat pelarian di Kem Gharnia, Turki.



Sanliurfa, Turki - 11 Januari 2021

Kem pertama yang kami tuju pada hari tersebut adalah kem pelarian Syria di Sanliurfa. Seperti yang telah diberitahu kepada kami, nama kem ini adalah Kem Gharnia, daerah Sanliurfa di negara Turki. Pasti ramai yang tertanya-tanya kenapa pergi Turki? Di Turki pun ada kem pelarian? Nama pun pelarian. Dimana mereka diterima, disitulah mereka singgah. Dimana tempat persinggahan mereka, disitu lah jua tempat berlindung, tempat makan, tempat mereka melelapkan mata walau seminit cuma. Turki menjadi tuan rumah kepada 3.6 juta pelarian Syria, ditambah lebih daripada 370,000 pelarian bukan Syria, dengan sekitar 98% tinggal di kawasan bandar di samping komuniti negara tempatan tersebut.


Perjalanan dari tempat kami menginap di kota Gaziantep mengambil masa lebih 3 jam untuk tiba ke destinasi yang menempatkan beberapa buah kem pelarian di Sanliurfa, Turki. Tujuan utama misi kami pada hari tersebut adalah untuk menyampaikan sumbangan bantuan kotak makanan dan set makanan panas buat pelarian-pelarian Syria di kem-kem pelarian yang sedang kami tuju ini.


Kem ini hanya merupakan sebuah kem pelarian yang berskala kecil sahaja. Apa yang saya maksudkan disini adalah, hanya 20 buah keluarga sahaja yang ditempatkan di kem ini. Setelah meminta kebenaran dari salah seorang ketua di kem tersebut, seorang ibu tua dengan sangat peramah membenarkan dan mengajak saya meninjau ke setiap khemah di kem tersebut. Allahuakbar… luluh hati melihatkan keadaan dalam setiap khemah. Beralaskan tanah, habuk tanah dan selut memenuhi setiap ruang dalam khemah mereka. Bayi kecil merangkak-rangkak atas tanah bermain dengan batu-batu dalam khemah. Kalau ada pun yang lebih baik dari keadaan itu, hanya beralaskan karpet nipis dan tikar anyam plastik.


“Mari lah masuk. Inilah tempat tinggal kami. Alhamdulillah. Terima kasih kepada Tuhan yang telah memberikan kami keselamatan dan rezeki ini.” - senyum tawa ibu tua ini kelihatan. Biarpun lebar senyuman di pipinya, namun hati mereka seakaan dapat dibaca. Sejujurnya berair juga mata melihatkan betapa daifnya keadaan mereka. Mujur sahaja saya dan rakan-rakan memakai pelitup muka, maka tidaklah terlihat ketara jika menitis air mata wanita saya ketika itu. Khemah dan keadaan anak-anak pelarian disitu. Comot. Kotor. Berbau.


Bermula dengan ibu ayah dan datuk nenek sehingga kanak-kanak di situ, hampir kesemua mereka hanya memakai sehelai baju lusuh untuk membalut diri dari kesejukan. Entah bagaimana mereka mampu bertahan dan anehnya sungguh bijak menyembunyikan keperitan di wajah mereka. Tidak langsung menggigil atau mengadu sejuk.


Ketika sedang leka berjalan-jalan di sekitar kem Gharnia, saya ditegur oleh kanak-kanak yang sedang sibuk mengutip ranting-ranting pokok kapas disitu. Mereka memberitahu saya bahawa ranting-ranting yang dikutip akan dibakar untuk membantu mereka memanaskan badan dan memasak di luar khemah. Saya hanya mengangguk mengiyakan sahaja sambil mengikut sahaja kearah kanak-kanak ini meletakkan ranting-ranting tersebut.


Sedang khusyuk mata saya memerhati keletah anak-anak ini sempat bermain dengan ranting melukis-lukis di atas tanah, tiba-tiba datang seorang wanita menggendong bayi di kem tersebut menyentuh bahu saya. Wanita tersebut saya gelar sebagai Ummu. Dengan wajah gembiranya dia memandang saya kemudian lengan kecil saya disentuh, “Cantik jaket yang kamu pakai, aku harap ada sehelai untuk aku pakai…” - tersentak seketika mendengarkan kata-katanya yang ringkas tetapi menyimpan penuh makna. Ummu, ketika itu aku lihat hanya selapis pakaian sahaja yang membaluti badannya. “Adakah kamu bawa makanan untuk kami makan? Sudah berhari-hari kami tidak menjamah nasi mahupun daging.” Terdengarkan luahan itu, kami membuat keputusan untuk masak nasi dan ayam bersama pelarian-pelarian di kem tersebut.


Seramai lebih 80 orang pelarian Syria di kem tersebut dapat menikmati masakan panas yang dimasak bersama pada malam kejadian. Hati sedikit terubat melihat mereka benar-benar gembira menikmati masakan panas yang telah anda kongsikan buat mereka.


Bagaimana pula dengan hari-hari seterusnya? Bagaimana mungkin dapat mereka terus bertarung untuk terus hidup sebagai pelarian?


Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kempen-kempen yang sedang dijalankan oleh Malaysia for Syria, layari https://infaksyria.com/donations/musim-sejuk sekarang untuk melaksanakan 2.5% zakat daripada harta pendapatan anda sekarang. Moga setiap titisan keikhlasan anda, Allah terima dan memberkatinya serta membalasnya dengan segala kebaikan yang layak anda terima. InshaaAllah.


Salam Kemanusiaan,

Rohaidiana binti Rosly,

Eksekutif Konten Digital MFS (Malaysia for Syria).



Klik "Infak Syria" untuk berkongsi kehangatan bersama mereka:





26 views0 comments