• Rohaidiana Rosly

Rambutnya 'Beku' dan Badan Mereka Sangat Berbau

Updated: Nov 4, 2020








"Entah dari mana datangnya kekuatan yang mereka miliki hari ini. Bingung dibuatnya."

Ketika Imam Hanbali masih muda dan ingin terus mencari ilmu hadis, beliau mengikuti sahabatnya ke negeri Syam dan ketika itu dia berjumpa dengan seorang tua yang dikatakan seorang perawi hadis. Setibanya Imam Hanbal dan sahabatnya dihadapan rumah perawi hadis itu, perawi hadis itu sedang mendahului memberi makan kepada seekor anjing sedangkan Iman Hanbal dan sahabatnya ada dihadapannya setia menunggu. Sesudah itu, perawi hadis itu bertanyakan kepada mereka berdua “Boleh jadi kamu berasa hendak marah kepada aku, bukan?” Imam Hanbal mengiyakan kerana jelas sekali perawi hadis itu mengutamakan keperluan seekor anjing daripada keperluan seorang manusia.

Lalu perawi hadis itu memetik sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abi Az-Zanad dari Al-Araj dan daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang tidak menunaikan hajat seseorang yang berhajat kepadanya maka Allah tidak menunaikan hajatnya pada hari kiamat.” Katanya lagi, “Ketika anjing itu mula mengekoriku sehingga ke rumah, sudah pasti anjing itu sedang kelaparan dan sangat memerlukan bantuan makanan daripadaku..” Kisah ini membuka hati saya untuk berkongsi satu lagi kisah mengenai kanak-kanak pelarian Syria yang penampilannya begitu menyedihkan. Kami yakin bahawa tidak akan sanggup dek anda untuk melihat dan mendekati kanak-kanak pelarian Syria ketika musim sejuk. Mengapa saya katakan begini adalah kerana disaat mata anda terhenti di suatu kawasan yang menampakkan kanak-kanak pelarian Syria yang sedang berlarian menuju ke arah kami mengharapkan makanan atau alat tulis, di saat itu bola mata anda hanya akan tertumpu ke wajah naif mereka. Ya. Naif.

Wajah comot tetapi kelihatan begitu bercahaya dan riang sekali. Mengharapkan sesuatu daripada kami agar terubat sedikit hati mereka yang terpaksa berdepan dengan keadaan yang menyeksakan setiap kali tibanya musim sejuk. Mengertikah anda akan kesusahan mereka ketika ini? Tidak? Tidak mengapa. Suka untuk saya teruskan perkhabaran antara kami ketika sesampainya kanak-kanak itu dihadapan kami, tangan kami seperti biasa laju ingin membelai usap kepala mereka. “Ya Allah!” Demi Allah yang Maha Esa, kami terkejut benar. Sentuhan yang terjadi ketika itu sangat mengejutkan kami apabila rambut di kepala anak-anak pelarian Syria ini telah melukakan kulit kasar kami. Allahuakbar. Rambut mereka yang kelihatan lembut dari jauh itu ternyata beku. Kusut malah sangat berbau. Otak kami begitu aktif berkerja memikirkan pelbagai jenis soalan yang tidak berhenti bermain di kepala otak. Kami memandang sesama sendiri dengan bola-bolat mata kami dipaksa menahan air mata daripada melimpah membasahkan pipi wajah kami. Perasaan kami yang sebelumnya begitu gembira melihatkan kanak-kanak tersebut begitu riang berlari ke arah kami kini betukar menjadi cuaca mendung yang menanti masa untuk hujan selebat-lebatnya.


Andai sahaja hati kami lemah ketika itu, agaknya pasti sudah rebah badan kami membayangkan bagaimana kanak-kanak yang rambutnya beku dan badan mereka sangat berbau ini masih dapat bertahan dengan senyuman yang masih tak lekang-lekang dari wajah-wajah kecil itu. Rambut yang kusut dan beku, wajah polos yang comot dengan kotoran debu dan selut, baju nipis dan tidak sempurna, tubuh kecil dan sangat berbau. Entah dari mana datangnya kekuatan yang mereka miliki hari ini. Bingung dibuatnya. Keperluan punca air untuk kegunaan harian terputus dan telah ditetapkan had, kemudian musim sejuk pula telah membekukan setiap titik air yang masih berbaki. Dengan ketiadaan kayu api untuk memanaskan badan mahupun air. Situasi di Syria ibarat sudah jatuh, ditimpa tangga. Kecelakaan dan ujian yang terpaksa mereka hadapi bertalu-talu menimpa nasib mereka.

Oleh sebab itu Malaysia for Syria telah mengagihkan bantuan pakaian tebal musim sejuk yang lebih sesuai dan selesa untuk pelarian Syria agar mereka dapat terus bertahan dengan cuaca musim sejuk yang melampau di Syria. Selain itu, Malaysia for Syria juga dengan bantuan dan keprihatinan rakyat Malaysia, kini dua buah telaga air bersih untuk Syria sudah siap dibangunkan demi kepentingan dan keperluan harian pelarian Syria dapat dipenuhi dan diteruskan seperti biasa.

Air adalah simbol kehidupan, melegakan dahaga, menyejukkan dan menyucikan. Sifat air itu sendiri mampu menjadi pelarut yang boleh membersihkan berbagai kekotoran dan di sebalik ketenangan dan kelembutan air itu pula kuasa besar yang boleh menjana kekuatan. Bagaimana kehidupan kita tanpa air, hilanglah punca tenaga untuk meneruskan kehidupan seperti biasa. Maka syukurilah nikmat rezeki air yang masih mengalir dan keluar dari paip rumah anda kerana mereka di Syria sudah bertahun lamanya sengsara disebabkan masalah air ini.

Layari facebook Malaysia for Syria untuk mendapatkan informasi tentang perkembangan terkini pembangunan fasiliti yang telah dan sedang dilaksanakan di Syria. Tanpa tangan anda, tangan kami juga pasti masih terkapai-kapai memerlukan sokongan daripada anda.

Salam Rindu Dan Kasih Sayang

Rohaidiana binti Rosly

Eksekutif Konten Digital MFS (Malaysia for Syria)

56 views0 comments

©2019 by Media Malaysia For Syria.