top of page
  • Writer's pictureSyahrir Azfar bin Saleh

1 Dekad Konflik Kemanusiaan Syria – Ibrah dan Refleksi

Bahagian 1 : Permulaan yang Belum Berakhir


Ada yang bertanyakan, kenapa penulis masih lagi terus berjuang dalam isu Syria yang telah satu dekad lamanya berlaku? Jawapan penulis masih seperti tahun-tahun awal ketika penulis mula bergiat aktif dan sepenuh masa dalam Kempen Selamatkan Syria (Save Syria) yang digerakkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada Januari 2012 yang seterusnya membawa kepada penubuhan Malaysian Life Line for Syria (kini Malaysia for Syria).

Antaranya adalah kerana penulis telah menyaksikan sendiri segala macam kezaliman yang berlaku di Syria tanpa pembelaan yang sewajarnya. Selalu juga penulis kongsikan betapa takutnya penulis juga akan berlaku zalim dan berdosa sekiranya apa yang telah disaksikan dengan mata kepala sendiri, ditambah dengan pelbagai cerita kisah-kisah benar mengenai apa yang sedang berlaku di Syria tidak diangkat dan dibela.

Melempar kembali peristiwa sekitar sepuluh tahun yang lepas, tahun 2011 menyaksikan gelombang Revolusi Arab Spring mula merebak ke bumi Syria yang masyhur dengan kekebalan pemerintahan secara diktator dan juga ketakutan masyarakat Syria itu sendiri untuk bangkit mempertahankan hak serta memelihara maruah mereka. Usaha memecahkan tembok ketakutan di Syria telah dimulakan oleh Hasan Ali al-Akla, seorang pemuda Syria yang berumur 26 tahun. Beliau membakar dirinya sendiri mencontohi apa yang telah dilakukan oleh Muhammad Bouazizi yang berjaya mencetuskan revolusi di Tunisia. Namun usaha Hasan Ali al-Akla ini tidak membuahkan hasil di Syria sepertimana yang diharapkan. Semangat untuk kebangkitan dan kemarahan rakyat Syria akhirnya tiba ke kemuncaknya apabila sekumpulan anak muda yang menconteng graffiti di dinding dengan ayat “Kami Mahu Menjatuhkan Kerajaan” telah ditangkap dan diseksa ketika di dalam penjara. Ahli keluarga yang datang ke penjara merayu untuk mereka dibebaskan tetapi hanya diminta untuk melupakan sahaja tentang anak mereka (anggap sahaja mereka telah mati).


Sumber gambar oleh Middle East Eye

Maka, 15 Mac 2011 menjadi saksi demonstrasi aman yang digerakkan secara besar- besaran yang bermula di Dar’a, Syria antara lainnya mengecam penangkapan dan penyeksaan yang dilakukan ke atas sekumpulan anak muda ini. Kemaraan dan kemarahan rakyat Syria menjadi semakin tidak terbendung apabila kerajaan Syria mula menggunakan kekerasan dan juga menembak secara rambang kepada para pendemonstran yang tidak langsung memegang sebarang senjata.


Ia bertambah marak lagi apabila Hamza Ali Al-Khatib, seorang remaja yang berusia 13 tahun dilaporkan meninggal dunia ketika di dalam tahanan pada penghujung April 2011 dan jenazahnya dihantar pulang ke rumah keluarganya dalam keadaan penuh dengan kesan seksaan hanya kerana didakwa terlibat dalam demonstrasi untuk menjatuhkan kerajaan Bashar al-Assad yang merupakan presiden Syria. Tubuh Hamza penuh dengan kesan lebam, torehan dan terbakar kesan seksaan menggunakan elektrik, malah terdapat kesan tembakan di beberapa tubuh badan termasuk kemaluannya juga cedera parah. Tragis!

Laungan Allah, Suriah, Hurriah wa Bas – yang membawa maksud kami hanya mahukan Allah, Syria dan Kebebasan bergema sahut-sahutan menandakan era revolusi Syria sudah sampai ke kemuncaknya. Sedikit yang mereka tahu bahawa kebangkitan ini bakal memakan masa 10 tahun dan ia masih belum menemui sinarnya.

Jika mahu disoroti segala macam kezaliman yang berlaku kepada masyarakat Syria tanpa pembelaan sepanjang satu dekad ini, pasti akan benar-benar meruntun jiwa kemanusiaan kita semua. Namakan sahaja - serangan senjata kimia, serangan bom tong barrel, pengepungan secara sitematik sehingga mengakibatkan kematian akibat kebuluran, segalanya telah atau sedang berlaku di Syria.

IKUTI SAMBUNGAN BAHAGIAN 2, PENULIS KONGSIKAN PENGALAMAN MELIHAT SENDIRI KEKEJAMAN YANG BERLAKU DI SYRIA DI HADAPAN MATA

79 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
bottom of page