top of page
  • Writer's pictureRohaidiana Rosly

‘BERDEGIL’ KE LUAR NEGARA, PETUGAS KEMANUSIAAN NEKAD LAKSANA MISI MUSIM SEJUK UNTUK SYRIA KALI KE-9


TURKI, SYRIA, LUBNAN: Misi bantuan musim sejuk akan tetap diteruskan sehingga akhirnya pelarian-pelarian Syria tidak lagi dizalimi dan bumi anbiya Syria akhirnya bebas dari segala kekejaman dan penindasan. Kes penularan jangkitan wabak pandemik Covid-19 telah meningkat di seluruh negara termasuk Malaysia, Turki, Syria dan Lubnan.


Namun begitu, NGO Malaysia for Syria masih ‘berdegil’ menghantar seramai 5 orang petugas kemanusiaan yang terdiri daripada Saudari Nur Fareezah Bahar bagi mengetuai misi ini dan juga sebagai Petugas Kewangan di lapangan, Saudara Salman Yusop sebagai koordinator dan Petugas Pembangunan Projek, Saudari Zatul Iffah Fakharuldin, yang mengendalikan Live dan juga Logistik di lapangan, 2 orang Petugas Media di lapangan Saudara Azmeer Faiq Rusli dan Saudari Rohaidiana Rosly serta 2 orang lagi petugas sukarelawan di lapangan.

Petugas-petugas kemanusiaan bagi misi bantuan ini mula berlepas ke negara pertama iaitu Turki semenjak 9 Januari 2021, kemudian ke negara kedua di Syria dan kemudiannya berakhir pada 27 Februari 2021 di negara terakhir iaitu Lubnan bagi melaksanakan Misi Bantuan Kecemasan Musim Sejuk untuk Syria kali ke-9. Memasuki tahun ke-10, Malaysia for Syria nekad laksanakan misi bantuan musim sejuk ketika dunia sedang sakit diserang wabak pandemik demi menyampaikan bantuan buat pelarian Syria yang terpaksa melalui penderitaan hidup tanpa sebarang keperluan yang cukup malah lengkap ketika berdepan dengan musim sejuk yang mampu membunuh.

Dana sejumlah RM2,825,878.11 telah berjaya disalurkan bagi kali misi ini dalam beberapa jenis bentuk bantuan keperluan musim sejuk untuk Syria di Turki, Syria dan Lubnan. Menggunakan Mobile Aid Truck (Trak Agihan sumbangan) Malaysia for Syria, set makanan panas diagihkan dari kem ke kem yang lain. Selain itu bantuan seperti roti, kotak makanan, selimut, tilam, set susu dan lampin bayi, karpet, kit musim sejuk seperti pakaian tebal dan kasut but, arang dan petrol sebagai alat pemanas juga diagihkan. Khemah-khemas kanvas baharu sebagai perlindungan segera juga dibina buat keluarga-keluarga yang telah kehilangan tempat berlindung.

Misi kali ini sedikit berbeza kerana seramai 6 orang petugas kemanusiaan dihantar sekaligus bagi menyampaikan amanah bantuan yang telah disalurkan oleh rakyat Malaysia buat pelarian-pelarian Syria. Ini kerana misi kali ini tertumpu di 3 buah negara iaitu Turki, Syria dan Lubnan yang menempatkan majoriti pelarian Syria di kem-kem pelarian dan memerlukan tenaga pekerja yang agak ramai untuk mengurus segala keperluan ketika di lapangan. Disamping itu, petugas-petugas kemanusiaan ini juga dihantar bagi memantau dan memeriksa projek jangka masa panjang yang telah dibangunkan di Syria dan Lubnan iaitu Perkampungan Syrian Al-Hayah, Masjid As-Sabeel, Sekolah Jasmine Ash Sham II, telaga-telaga air bersih serta pembangunan khemah-khemah perlindungan segera buat pelarian Syria di Lubnan.


Operasi ini tidak hanya berakhir dengan agihan keperluan musim sejuk sahaja. Malah sebanyak 25 tan tepung gandum telah disumbangkan kepada kilang roti di Kilis, Turki. Selain daripada menghasilkan ratusan ribu tan roti setiap tahun, dapur di Kilis ini juga menyediakan makanan panas buat seramai lebih 5,500 orang penerima yang merupakan pelarian Syria di beberapa kawasan termasuk pelarian Syria di Syria iaitu di Azaz, Al-Bab dan Jerabulus serta di Sanliurfa, Turki.


Seterusnya, keempat-empat kontena yang berisikan segala keperluan musim sejuk sumbangan rakyat Malaysia yang telah diusahakan hasil sinergi 9 buah NGO kerjasama Disember lalu juga telah selamat tiba di pelabuhan Beirut, Lubnan. Kesemua barangan sumbangan di dalam kontena tersebut telah petugas Malaysia for Syria agihkan kepada pelarian-pelarian Syria di Lubnan yang tertumpu di beberapa daerah iaitu di Arsal, Akaar dan Bikaa.


Tampaklah bahawa usaha ini besar impaknya buat pelarian-pelarian Syria yang sehingga kini masih menderita kesan terhadap krisis kemanusiaan yang mula meletus semenjak awal 2011. Kerana tangan anda, kerana simpati dan keprihatinan anda, bantuan kemanusiaan ini dapat diteruskan menerusi Malaysia for Syria.


Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kempen-kempen yang sedang dijalankan oleh Malaysia for Syria, layari www.infaksyria.com sekarang untuk melaksanakan 2.5% zakat daripada harta pendapatan anda sekarang. Moga setiap titisan keikhlasan anda, Allah terima dan memberkatinya serta membalasnya dengan segala kebaikan yang layak anda terima. InshaaAllah.


Salam dari Bumi Sham,

Syria,

Rohaidiana binti Rosly,

Eksekutif Konten Digital MFS (Malaysia for Syria).

80 lihatan1 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
bottom of page