top of page
  • Writer's pictureMalaysia For Syria

KEMELUT 8 TAHUN PEPERANGAN DI SYRIA

Updated: 18 Jul 2019


SYRIA KINI...

Peperangan di Syria mencatatkan sejarah hitam bagi dunia Islam akibat kekejaman pemerintahan Bashar Asad. Akibat penekanan dari Rejim Basyar, rakyat mula memberontak melawan kerajaan dan menghasilkan revolsi kebangkitan rakyat akibat peristiwa 15 Mac 2011. Revolusi yang dicetuskan akibat tragedi kejam yang melibatkan sekumpulan kanak-kanak sekolah rendah dari wilayah Dar’a yang ditangkap akibat menconteng dinding awam dengan slogan “Rakyat mahu jatuhkan kerajaan”, dianggap sebagai slogan yang berbaur pemberontakan rakyat. (Anwar Majdi Ashan, 2017)


Berpunca dari detik itu, pada 18 Mac 2011 sekumpulan rakyat terdiri daripada golongan dewasa dan remaja berarak dari Masjid Omari selepas solat asar menuju ke rumah pegawai polis Atef Najib dengan melaungkan slogan “Jatuh Atef Najib” dan mereka menerima tembakan bertali arus daripada helikopter yang berkawal di sana dan menyebabkan peserta perarakan lari menyelamatkan diri. Menurut laporan, serangan tersebut telah mengakibatkan kematian tiga orang penduduk. Lantaran itu, rakyat Syria bangkit menentang menolak kepimpinan Basyar Al-Asad secara terang-terangan dan mengakibatkan Rejim Asad membunuh penduduk kampung dengan tujuan mematahkan bantahan rakyat di setiap wilayah di Syria.


Pergolakkan dan peperangan ini berterusan hingga kini dan dunia dapat melihat kehancuran yang berlaku di Syria. Populasi rakyat Syria pada 2019 dicatatkan seramai 17 juta orang, menurut statistik United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR) bertarikh 13 Jun 2019, jumlah pelarian Syria menjangkau seramai 5.6 juta orang di serata dunia. Angka ini hanya jumlah yang berdaftar dan direkodkan, namun hakikatnya angka sebenar pelarian Syria dijangka lebih ramai, dengan anggaran 5,000 penduduk Syria setiap hari meninggalkan negara mereka dan lebih 6.5 juta penduduk Syria kehilangan rumah untuk tempat mereka berteduh. Keadaan Syria kini dikatakan musnah secara keseluruhan dari pelbagai sudut akibat perang yang terjadi dan direkodkan sebagai negara yang tidak selamat untuk didiami.


Antara kemusnahan yang dapat dilihat ialah yang berlaku di Bandar Aleppo. Aleppo merupakan bandar terbesar di Syria. Apabila berlaku serangan dan peperangan di sana, ianya telah mengakibatkan dua pertiga daripada bandar Aleppo musnah dalam waktu yang singkat. Hingga kini kira-kira 50,000 rakyat Syria termasuk 40,000 orang awam yang malang masih teperangkap di Bandar berkenaan. Angka ini telah dikeluarkan oleh wakil keamanan PBB, Staffan de Mistura. Kini serangan terhadap mereka semakin rancak dengan penglibatan negara-negara besar barat yang campur tangan. Walaupun alasan mereka cuba untuk menghapuskan kumpulan pemberontak yang menentang kerajaan. Namun hakikatnya yang menjadi mangsa korban terdiri daripada orang awam daripada golongan yang lemah seperti wanita, orang tua dan kanak-kanak.


Kemelut di Syria, kanak-kanak sebagai mangsa yang terkesan dengan teruk. Data UNICEF mencatatkan 5.3 juta kanak-kanak menerima impak buruk daripada peperangan ini, dan lebih daripada 2.6 juta kanak-kanak didaftarkan sebagai mangsa pelarian perang. Mereka dinafikan hak perlindungan sebagai seorang kanak-kanak yang berhak menerimanya. Keperluan kesihatan dan pendidikan mereka dinafikan akibat kekacauan di tanah air mereka. Keselamatan kanak-kanak ini juga tidak dijamin, kita boleh lihat antara mangsa akibat serangan yang dilakukan kononnya untuk menentang pihak-pihak tertentu mengakibatkan kematian daripada golongan kanak-kanak dan bayi yang tidak berdosa.


Kemahuan rakyat Syria hanya untuk memiliki sebuah negara yang aman dan bebas daripada pemerintahan yang zalim. Namun kini, krisis di sana kian memuncak dengan penglibatan pihak-pihak luar yang cuba campur tangan dengan menghantar tentera dan serangan senjata ke Syria dengan alasan untuk memerangi golongan pemberontak namum setiap daripada mereka memiliki agenda yang tersendiri. Kerakusan yang belarutan ini mengakibatkan rakyat Syria terus menerus menderita dengan menjadi pelarian dan ketakutan berada di negara sendiri.



"Demi Syria, Untuk Ummah"


Salam Kemanusiaan,

Nurul Ashikin Binti Zakaria

Aktivis Kemanusiaan Malaysian Life Line for Syria

569 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
bottom of page