top of page
  • Writer's pictureMalaysia For Syria

MEMBANGUNKAN SYRIA DARI SUDUT SOSIOLOGI


Nasib yang menimpa rakyat Syria

Di anak tirikan di negara sendiri, dilayan seperti pengemis di negara orang. Itulah pengertian sebenar kehidupan penuh penderitaan perlu ditempuh oleh warga Syria yang dizalimi pemerintah sendiri. Lapan tahun menjadi saksi, peperangan demi peperangan yang berlaku di Syria berlanjutan seperti tiada pengakhirannya. Seperti diketahui umum, rakyat Syria sebenarnya telah lama hidup dalam kesengsaraan dengan peratusan pengangguran yang tinggi, diikuti amalan rasuah yang berleluasa serta kebebasan politik yang terhad.[1] Diilhamkan oleh “Arab Spring” yang berlaku di negara jiran, Syria cuba bangkit melawan kerajaan yang mengambil kesempatan ke atas rakyatnya sendiri.[2] Walau bagaimanapun, kerajaan mula menggunakan kekerasan melawan rakyat Syria yang cuba bangkit menentang kekejaman mereka sehingga akhirnya berterusan menjadi perang saudara.[3]

Oleh itu, pembangunan masyarakat amat diperlukan di mana strategi dan polisi yang bijaksana diperlukan sekaligus mencapai pulangan yang besar bukan sahaja kepada masyarakat itu sendiri malahan untuk ekonomi negara tersebut. Pembangunan sesebuah negara mestilah bermula dari masyarakatnya sendiri. Ini kerana pembangunan itu sendiri merupakan satu proses kemanusiaan yang melibatkan mental, fizikal serta semangat sosial seseorang individu seterusnya dapat mengukuhkan kerjasama dalam masyarakat.[4]


Wajah anak-anak Syria yang terkesan akibat peperangan di negara mereka

Hak-hak Syria demi pembangunan sosial masyarakat

Seperti yang diketahui, kebebasan dalam pengaksesan untuk setiap kemudahan adalah penting untuk sesorang meneruskan kehidupan. Namun ketiadaan akses dan kekurangan peluang pekerjaan memberikan komplikasi yang amat mendalam kepada pihak ini. Maka, demi mendapatkan kemudahan yang tinggi dan berkualiti, tahap kemiskinan di sesebuah negara itu haruslah di atasi terlebih dahulu. Seperti pelarian Syria, kekangan dan tekanan dari sudut kewangan bukan sahaja membantutkan niat mereka untuk menaik taraf kehidupan sendiri, malahan menyebabkan peluang anak-anak Syria melanjutkan pelajaran tersekat.


Di samping itu, pembangunan masyarakat yang esklusif perlulah menawarkan peluang hidup sihat dan berpanjangan. Kemudahan perubatan dan rawatan yang mudah didapati dengan harga yang mampu dimiliki merupakan idaman setiap rakyat diseluruh negara.[5] Lebih-lebih lagi di Syria, rakyat terpaksa hidup dalam keadaan yang serba kekurangan. Untuk mendapatkan bekalan perubatan juga merupakan sesuatu yang mustahil buat mereka. Disebabkan itu, antara bantuan yang boleh NGO sampaikan kepada mereka adalah dalam bentuk ubat-ubatan dan perkhidmatan doktor secara percuma. Walaupun usaha ini kelihatan kecil di mata manusia lain, tetapi ia merupakan satu usaha yang sangat baik buat mereka yang memerlukan ini.


Selain itu, akses kepada ilmu pengetahuan merupakan satu jalan keluar daripada kemiskinan.[6] Walaupun kebanyakan rakyat Syria meneruskan kehidupan mereka dengan tinggal di kem-kem perlarian, usaha-usaha untuk terus memberikan peluang pendidikan sepatutnya diteruskan. Bukan itu sahaja, pendidikan amat penting untuk kanak kanak yang tinggal di Syria atau dinegara sementara mereka duduki itu. Setidaknya, pendidikan mampu mengajar mereka cara untuk berdikari di negara orang di samping dapat mempelajari budaya di sesebuah negara itu.


Seterusnya, cara membangunkan masyarakat Syria dari sudut sosiologi ialah dengan menyediakan kehidupan yang lebih baik untuk mereka. Antara contoh yang boleh membangunkan rakyat Syria ialah dengan memberikan kebebasan hak bersuara dan keamanan dalam negara. Seperti yang kita tahu, peperangan bermula dengan keberanian bersuara menentang pemerintahan Bashar Asad menyebabkan Syria terpaksa berdepan dengan penderitaan yang seperti tiada pengakhirannya. Sekatan perjalanan dan sekuriti yang terlalu tinggi menyebabkan rakyat ketakutan untuk keluar dari tempat perlindungan seterusnya tidak dapat mencari pekerjaan untuk menyuap sesuap nasi kepada keluarga mereka kerana lebih merisaukan nyawa keluarga sendiri di rumah.


Oleh itu, untuk membangunkan Syria mestilah dimulakan dengan rakyatnya dahulu. Hal ini kerana, seorang individu yang hidup bermasyarakat adalah lebih baik daripada individu yang hidup keseorangan. Dengan memberikan peluang untuk rakyat Syria terus bangkit menolong diri mereka sendiri, masih mampu membuktikan bahawa kemanusiaan itu tidak dan tak akan pernah mati.



Rujukan:

1. www.bbc.com


"Demi Syria, Untuk Ummah"



Salam Kemanusiaan,

Nurshuhadah Zamri

Aktivis Kemanusiaan Malaysia Life Line for Syria.



74 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
bottom of page