top of page
  • Writer's pictureRohaidiana Rosly

NGO Malaysia for Syria Dedah ’Sikap’ Pelarian Syria




"Luluh hati apabila melihat ada ibu bapa yang sanggup membakar pakaian dan buku anak-anak mereka."

Malaysia for Syria merupakan antara Badan Kemanusiaan Malaysia yang terawal mengikuti isu kemanusiaan yang dialami oleh rakyat Syria yang menjadi pelarian di tanah air mereka sendiri. Saban tahun, Malaysia for Syria telah menjadi perantara bagi rakyat Malaysia yang turut prihatin akan kesengsaraan dan kezaliman yang terpaksa dihadapi oleh pelarian Syria di negara mereka sendiri. Telah masuk tahun ke-8 Malaysia for Syria masih kekal konsisten dalam melaksanakan amanah dan tugas hakiki sebagai aktivis dan petugas kemanusiaan di bumi Syria, Lubnan, Turki, Jordan malah di Malaysia.


Sementalah itu, terlalu banyak yang hendak dikongsikan malah para petugas Badan Kemanusiaan Malaysia for Syria sempat mendedahkan rahsia dan pengalaman yang telah dilalui sepanjang melaksanakan misi kemanusiaan untuk Syria. Adakah anda sendiri pasti bahawa pelarian Syria ini memang benar-benar kesusahan atau sekadar propaganda media untuk menutup mata rakyat Malaysia terhadap urusan negara sendiri. Salah seorang aktivis Malaysia for Syria telah berkongsi pengalaman ketika bertemu beberapa buah keluarga pelarian di kem-kem pelarian Syria yang terdapat di Lubnan dan Syria.


Luluh hati apabila melihat ada ibu bapa yang sanggup membakar pakaian dan buku anak-anak mereka. Menurut petugas MFS lagi, ini bukan kehendak mereka. Bukan berniat untuk menghalang anak-anak mereka daripada terus belajar dan mendapatkan pendidikan namun kejadian ini hanya berlaku sekali dalam setahun iaitu pada musim sejuk dek kerana ketiada bahan bakar bagi memanaskan badan setiap keluarga pelarian Syria di kem-kem pelarian di Syria dan Lubnan. Suhu musim sejuk yang mencecah -7 darjah celsius atau lebih yang hanya dialami pada musim sejuk pada setiap tahun di Syria dan Lubnan terutamanya mendatangkan banyak kesan buruk. Malah situasi seperti ini juga mampu meragut lebih ratusan nyawa pada musim sejuk yang membeku. Jun 2019 dicatakan sejumlah lebih 5.6 juta orang pelarian Syria di serata dunia. Angka ini hanya merupakan jumlah pelarian Syria yang berdaftar dan telah direkodkan, walau hakikat kebenarannya bilangan pelarian Syria dijangka meningkat setiap tahun, dengan anggaran seramai sekurang-kurangnya 5,000 penduduk Syria yang terpaksa meninggalkan negara mereka dan lebih 6.5 juta penduduk Syria kehilangan tempat tinggal tambahan pula kejadian letupan yang berlaku di bandar Beirut, Lubnan bulan lalu.


Biarpun menjejakkan kaki ke negara yang mempunyai dan mengalami musim sejuk adalah menjadi impian semua orang termasuk kami sendiri kerana keinginan merasai sendiri pengalaman bermain salji akan tetapi tidak bagi mereka, pelarian Syria. Ya, benar. Kepayahan dan jatuh bangun mereka menghadapi musim sejuk tanpa kelengkapan yang cukup dan sesuai dengan keadaan memaksa Malaysia for Syria untuk terus konsisten dalam misi bantuan kemanusiaan musim sejuk buat saudara pelarian Syria kita. Kebanyakan kem-kem pelarian Syria di bumi Syria dan Lubnan adalah terletak betul-betul di kawasan lapang tak berkayu tak berpokok yang menjadi punya mereka kegigilan bertarung ketika musim sejuk tanpa kayu api untuk dibakar bagi menyelesakan diri dan keluarga. Pernah beberapa kali petugas Malaysia for Syria bercerita bagaimana kuatnya anak-anak kecil disana mampu menahan sejuk paras beku itu apabila sudah 4 sehingga 5 lapis baju telah dipakai petugas kemanusiaan belum tentu dapat menahan gigilnya seperti kuat dan tabahnya anak-anak pelarian Syria datang menuju ke arah van kami demi sehelai baju tebal, sekotak makanan harian, alat pemanas serta makanan panas sementara menahan dinginnya cuaca tersebut.


Pandangan kami sebagai seorang petugas kemanusiaan yang kerap kali turun ke bumi Syria dan Lubnan bagi misi bantuan kemanusiaan pada musim sejuk setiap tahun kini telah berubah 360 darjah. Mengapa? Jawapannya adalah kerana anda sendiri pun tidak akan mampu menyaksikan betapa azabnya kehidupan seharian mereka. Kem pelarian yang tidak mempunyai tali air, tiada tandas, kanak-kanak comot tidak berkasut mahupun selipar, bercompang campingnya pakaian mereka, rambut kusut beku dan berbau, tanah berselut malah berlopak. Bukan itu sahaja. Terlalu banyak untuk diluah dan dihuraikan satu per satu membayangkn bagaimana jika kami yang mengalami kehidupan serba kurang seperti ini. Sikap pelarian Syria yang sering menyambut baik dan amat mengalu-alukan kedatangan kami sebagai tetamu bagi mereka terlalu menyentuh hati kerana dalam ketidakcukupan mereka masih ‘mampu’. Mampu memberikan layanan sebaik-baiknya yang seakan setiap dari petugas kemanusiaan adalah sudah menjadi ahli keluarga yang mereka kenal selama bertahun-tahun. Tidak cukup malah tidak menghalang mereka untuk terus menyebarkan kasih sayang terhadap tetamu yang lewat ke kem mereka untuk menziarah.


Peperangan. Isu kemanusiaan. Jutaan nyawa terbunuh dan hilang tanpa khabar juga berita. Masih belum menemui pengakiran ceritanya, namun kita adalah penentu beza antara manusia biasa dengan manusia yang memanusiakan manusia yang lain atas dasar kemanusiaan. Tangan yang anda hulurkan buat mereka bukan hanya terhenti disaat mereka menerimanya tetapi ianya bakal menjadi batu tonggak kepada kebangkitan mereka di suatu hari kelak dengan izinnya Allah `azza wa jalla.


Layari www.infaksyria.com. untuk menginfakkan rezeki dari DIA buat mereka di Syria. Berapa pun nilainya, ikhlas itu Allah yang menilai.


Salam Rindu Dan Kasih Sayang,

Rohaidiana binti Rosly,

Aktivis Kemanusiaan Malaysia for Syria.

140 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
bottom of page