top of page
  • Writer's pictureRohaidiana Rosly

Pelik! Menjual Biskut Tetapi Biskutnya Tidak Diberi.

Updated: 21 Okt 2020
















"Satu jari telunjuk diangkat. ...kami mengeluarkan beberapa keping duit Syria untuk diberikan kepadanya."

Kerana secara zahirnya salji itu tampak menyeronokkan, tetapi anda perlu tahu bahawa ada nyawa-nyawa kecil yang sedang bertarung dengan putih bersih dan gebunya salji di negara mereka, Syria. Berada secara fizikalnya di bumi Syria ketika musim sejuk dan disediakan tempat tinggal sebelum pengagihan bantuan sumbangan Misi Kemanusiaan Musim Sejuk untuk Syria dilaksanakan, kami juga gigil kesejukan biarpun tidur beralaskan katil empuk dan selimut tebal membalut badan. Anda mungkin hanya akan bertahan selama beberapa minit sahaja bermain salji di luar kawasan rumah, walaupun sudah tebal kiranya baju yang dipakai. Tidak seperti yang anda selalu imaginasikan betapa seronoknya bermain salji. Cuba letakkan diri anda di suatu situasi dimana baju anda terlalu nipis dan terdapat terlalu banyak koyak kemudian anda terpaksa meredah hujan lebat selama sekurang-kurangnya lebih 4 sehingga 5 hari kerana rumah anda telah musnah dek kerana bencana gempa bumi.


Bayangkan pula anak-anak kecil pelarian Syria berumur semuda 4 tahun sudah berjalan kaki lebih 10km dari kem pelarian mereka ke tengah-tengah kawasan bandar demi untuk mencari pembeli yang sanggup membeli jualan biskut mereka. Bagaimana anak-anak ini dapat bertahan sedangkan kulit mereka lebih nipis dari kulit kita yang sudah dewasa dan kasar? Tidak berhenti kami bermonolog sendiri melihatkan situasi itu.

Sedang kami bersiap-siap di dalam van untuk menuju ke kem pelarian yang bakal menerima agihan sumbangan bantuan musim sejuk, kami didatangi beberapa tubuh kecil cuma berbaju nipis yang tiba-tiba menghulurkan beberapa paket pelbagai jenis biskut. Kanak-kanak yang comot wajah mereka ini menghulurkan beberapa paket biskut tersebut dan kelihatan beberapa keping duit kertas di tangan. "Duit baki, mungkin." Itulah yang terlintas dihati kami. “Kamu jual biskut ini? Kam haza?” Lebih kurang begitulah soalan kami ketika itu. Satu jari telunjuk diangkat. Sayu hati melihatkan wajah kecil itu masih setia menunggu, kami mengeluarkan beberapa keping duit Syria untuk diberikan kepadanya.


Yang melihat pasti berasa hairan. Pelik! Menjual biskut tetapi biskutnya tidak diberi. Jika anda berada di tempat kami ketika itu pasti anda juga tidak akan mengambil biskut tersebut. Rasa tak sampai hati. Lebih dari 20 orang kanak-kanak kelihatan di bahu-bahu jalan menanti dengan penuh sabar untuk menghampiri mana-mana kenderaan yang mereka sangka akan membeli biskut jualannya. Setelah itu, tubuh-tubuh kecil itu pun berlalu pergi bersama wajah yang agak gembira namun jelas air muka yang masih penuh dengan persoalan. Sudahkah anak tadi rehat dan makan? Dimana ibu ayah mereka ketika itu? Selesakah khemah tempat tinggal mereka apabila pulang untuk berehat nanti? Adakah layak kanak-kanak pelarian Syria mendapat layanan sebegini di negara mereka sendiri? Bermacam persoalan lain lagi yang bermain di minda sepanjang perjalan kami ke kem agihan sumbangan. Terlintas di hati cuba membezakan kanak-kanak ini dengan kanak-kanak di Malaysia dan di negara-negara yang agak senang berbanding Syria.


Menurut sebuah artikel yang telah dikeluarkan oleh Berita Harian pada 15 Mac 2020, sekurang-kurangnya 4.8 juta kanak-kanak lahir ketika bermulanya perang Syria semenjak sembilan tahun lalu, manakala 9,000 orang terbunuh atau cedera akibat konflik itu. Dalam waktu yang sama, hampir 5,000 orang kanak-kanak seawal usia tujuh tahun di rekrut untuk menjadi tentera perang dan hampir 1,000 kemudahan pendidikan serta perubatan diserang dan dimusnahkah secara seluruhnya. Impak dari kekejaman dan kezaliman yang berlaku ini telah mendatangkan kesan yang amat buruk dan bakal meninggalkan parut yang dalam. Ini menyebabkan hampir 5 juta anak-anak perang Syria sentiasa berusaha untuk cuba melawan balik dan melakukan sehabis upaya mereka untuk meneruskan kehidupan demi diri dan keluarga mereka.


Bumi mereka. Negara mereka. Tanah tempat tumpahnya darah-darah pejuang dan nafas lelah mereka. Tiada yang lain dapat mereka lakukan selain daripada terus kuat dan tetap terus berhadapan dengan situasi menyiksakan ini. Kerana Syria, masih belum kelihatan pengakhirannya. Doa dan bantuan buat mereka akan kita usahakan sehingga ke akhirnya. InshaaAllah.


Layari www.infaksyria.com. untuk menginfakkan rezeki dari DIA buat mereka di Syria. Berapa pun nilainya, ikhlas itu biarlah Allah yang menilai.


Salam Rindu Dan Kasih Sayang,

Rohaidiana binti Rosly,

Aktivis Kemanusiaan Malaysia for Syria.

55 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
bottom of page