• Rohaidiana Rosly

Sabah : MFSCare Turun Menyantuni Rakyat Terjejas Akibat Wabak Covid-19

Updated: Dec 31, 2020









"...bantuan berbentuk pek makanan asas dan kit anti-covid buat penduduk-penduduk kampung di sekitar Kota Kinabalu, Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Kunak."

Melihat kepada keperluan dan keterbatasan rakyat Sabah yang telah terjejas akibat peningkatan penularan wabak pandemik Covid-19, Malaysia for Syria bertindak menubuhkan satu lagi projek khas buat mereka yang memerlukan di Malaysia selain daripada pelarian Syria. Projek khas ini telah dinamakan sebagai MFSCare yang mana tujuan dan objektifnya adalah untuk turut menyantuni dan menyediakan hak kemanusiaan sejagat bukan sahaja kepada pelarian Syria malah kepada rakyat Malaysia dan lain-lain kaum dan bangsa yang memerlukan bantuan serta sokongan segera di atas keperluan yang mendesak kehidupan mereka.

Tanah berlecak dan lumpur yang kotor di Syria sanggup diredah, inikan pula lautan berombak di Sabah dan titian yang papan-papannya kian merapuh. Keramaian peratusan rakyat Sabah yang terjejas telah menyebabkan Malaysia for Syria terpanggil untuk turut bertindak respon terhadap kegentingan situasi semasa Covid-19 di Sabah. MFSCare dan Global Peace Mission Malaysia (GPM), semenjak 14 November sehingga tarikh 30 November 2020 telah turun ke bumi Sabah bagi melaksanakan misi bantuan segera buat mereka yang terjejas teruk ketika itu.


Sejumlah RM51,615 dana terkumpul hasil usaha bersama rakyat Malaysia yang mana juga telah berjaya diagihkan dalam beberapa jenis bantuan. Antaranya adalah bantuan berbentuk pek makanan asas dan kit anti-covid buat penduduk-penduduk kampung di sekitar Kota Kinabalu, Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Kunak. Selain itu, kelengkapan PPE dan pek Terima Kasih juga diagihkan kepada para petugas barisan hadapan serta bantuan pek makanan kepada pelajar IPT Universiti Malaysia Sabah(UMS) yang terkandas dan tidak dapat pulang ke kampung halaman berikutan situasi genting di Sabah negeri dibawah bayu.


Pengagihan sumbangan ini ditumpukan ke beberapa kawasan zon merah yang terjejas teruk seperti kampung Chendera Kasih Bukit, kampung Mapan Darat, kampung Mapan Laut, kampung Sangai Sangai, kampung Moyog, kampung Togudon, kampung Sedul, kampung Terikon, kampung Bakau Puyut, kampung Puyut, kampung Bakau Baru, kampung Air, kampung Pokok, kampung Tinagat, dan kampung Sukan Likas. Kelengkapan PPE dan pek terima kasih pula telah disampaikan kepada para petugas barisan hadapan di Hospital Kota Belut, Pusat Kuarantin Sementara Kota Belut, Kompleks Sukan Likas, Hospital Lahad Datu, Hospital Tawau, INTAN (Pusat rawatan Covid-19 tahap 1 dan 2), Majlis Keselamatan Negara serta di beberapa kawasan sekatan jalan raya di Kota Belut.


Encik Syahrir Azfar bin Saleh, CEO Malaysia for Syria dan juga merupakan pengasas MFSCare dalam sebuah Majlis Penyerahan Sumbangan Kemanusiaan Aid For The Needy : Sabah Chapter berkata, “usaha untuk menentang penularan Covid-19 ini memerlukan pengembelingan tenaga setiap seorang daripada kita dengan pematuhan SOP yang ketat. Kami memberikan jaminan bahawa setiap agihan bantuan yang dilakukan akan mengikut SOP yang telah ditetapkan dan dengan pemakluman kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di daerah-daerah yang terlibat.”


Turut hadir bagi melancarkan Majlis Penyerahan Sumbangan Kemanusiaan Aid For The Needy : Sabah Chapter, Yang Berhormat Menteri Tugas-Tugas Khas Negeri Sabah, YBhg Setiausaha merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Sabah, YBhg Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, YBhg Pengarah Jabatan Kemajuan Agama Islam Negeri Islam, Yang di-Pertua ABIM Negeri Sabah, serta Presiden Majlis Belia Negeri Sabah dan para petugas kemanusiaan MFSCare dan Global Peace Mission Malaysia (GPM).


“Dengan keinsafan bahawa setiap daripada kita ini mempunyai tanggungjawab manusiawi dalam menyantuni golongan yang memerlukan tanpa tapi dan tanpa nanti, merentasi perbatasan kaum dan agama, melangkaui garisan masa waktu berkerja, hari minggu malah hari-hari cuti umum,” Katanya lagi dalam ucapan yang disampaikan ketika majlis tersebut.


Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kempen-kempen yang sedang dijalankan oleh Malaysia for Syria, layari www.infaksyria.com. sekarang untuk melaksanakan 2.5% zakat daripada harta pendapatan anda sekarang. Moga setiap titisan keikhlasan anda, Allah terima dan memberkatinya serta membalasnya dengan segala kebaikan yang layak anda terima. InshaaAllah.


Salam #KitaJagaKita,

Rohaidiana binti Rosly,

Eksekutif Konten Digital MFS (Malaysia for Syria).

36 views0 comments

©2020 by Media Malaysia For Syria.