top of page
  • Writer's pictureSyahrir Azfar bin Saleh

Sehingga Bilakah Perlu Kita Bantu Syria?

Updated: 18 Apr 2021

Bahagian IV : Menyantuni Keperluan Kemanusiaan, Ibrah dan Refleksi.

Saat penulis menyoroti fakta dan data terkini konflik Syria yang dikeluarkan dari pelbagai sumber seperti PBB, International Committee of Red Cross (ICRC) dan Human Rights Watch (HRW) ini, penulis menyedari betapa dahsyatnya kesan sesebuah peperangan dan benar-benar merasai syukur di atas nikmatnya sebuah keamanan, kedamaian dan juga kebebasan yang kita kecapi di bumi bertuah Malaysia.

Di atas keinsafan itu, penulis bersama pasukan Malaysian for Syria (MFS) semenjak 2012 dan juga rakan-rakan NGO yang lain, yang baharu mahupun yang telah lama dalam persada kemanusiaan terus kekal berjuang untuk memberikan kehidupan yang lebih baik kepada mereka yang menjadi mangsa peperangan samada di Syria, Turki, Lubnan, Jordan mahupun mereka yang mendapatkan perlindungan di Malaysia.

Gerak kerja bantuan kemanusiaan untuk Syria kini tidak hanya tertumpu kepada bantuan secara one-off atau skala masa pendek semata-mata. MFS bersama gabungan rakan-rakan NGO yang lain kini sedang dalam proses membina sebuah perkampungan Malaysia yang dinamakan Kampung Syrian al-Hayah (hampir 80% siap) yang bakal menempatkan 100 buah keluarga di al-Bab, Syria. Dalam masa terdekat, 100 buah keluarga ini akan berpindah daripada kem-kem perkhemahan yang usang dan kekurangan dari pelbagai segi ke sebuah penempatan wakaf yang lebih baik. Alhamdulillah.

Pembangunan Kampung Malaysia – Syrian al-Hayah di al-Bab, Syria

Tahun demi tahun, ketika mana Malaysia telah mula menjadi destinasi pilihan kepada pelarian-pelarian Syria untuk mendapatkan perlindungan, MFS melihat kepada keperluan segera pendidikan untuk anak-anak yang sukar mendapat akses dan tidak mampu untuk membiayai yuran di sekolah-sekolah swasta di Malaysia. Maka semenjak tahun 2017, MFS telah membuka Pusat Pembelajaran Alternatif Jasmine Ash-Sham (PBA Jasmine Ash-Sham) yang merupakan sekolah pelarian Syria yang pertama di Malaysia dan kini mempunyai hampir 120 orang pelajar dari peringkat rendah sehingga ke menengah. Malah ada beberapa orang pelajar yang kini dalam persiapan untuk menduduki peperiksaan kurikulum IGCSE sebelum memasuki gerbang universiti kelak. Sekali lagi ia merupakan inisiatif dan hasil keprihatinan masyarakat Malaysia. Syukur.


Jujur penulis katakan, rakyat Malaysia merupakan sebuah masyarakat yang sangat prihatin, bersedia untuk membantu mereka yang memerlukan samada di dalam mahupun di luar negara. Walaupun mungkin ada yang masih skeptikal dengan bantuan yang disalurkan ke luar negara dan diibaratkan umpama kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan, ia tidak merencatkan sedikitpun usaha kita bersama untuk meringankan beban dan kesakitan yang dilalui oleh masyarakat di luar sana. Pendek kata, di mana pelosok dunia yang memerlukan, Malaysia akan hadir. Semoga Allah terus merahmati bumi Malaysia! Maka persoalan berikutnya, sehingga bila kita perlu membantu Syria? Pendapat penulis, apabila sampai waktunya segalanya kembali tenang, aman dan keselamatan mereka telah terjamin. Pemimpin-pemimpin dunia harus menzahirkan ketegasan untuk mencapai kata putus dalam menyelesaikan konflik peperangan di Syria yang kini dilihat telah menjadi medan peperangan di antara negara-negara yang mempunyai kepentingan tanpa memikirkan nasib dan nyawa rakyat Syria yang masih terus terancam saban hari.

Suatu ketika dahulu Malaysia pernah membantu Bosnia Herzegovinia dari segi diplomasi, bantuan kewangan, kemanusiaan dan moral termasuk menghantar tentera Malaysia untuk menganggotai tentera pengaman PBB ke sana. Begitulah jua harapan penulis dalam usaha-usaha yang digerakkan untuk menangani konflik peperangan Syria yang perlu kita akui, ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada Malaysia apabila telah menjadi antara destinasi pilihan untuk para pelarian Syria mendapatkan perlindungan sementara konflik belum berakhir.


Sekitar Majlis Pelancaran Kempen Tabung Bosnia oleh ABIM pada tahun 1992.

Membiarkan mereka tanpa membawa solusi segera untuk menangani hak dan keperluan asas kehidupan manusia seperti tempat untuk berlindung, jaminan keselamatan, akses kepada perkhidmatan kesihatan dan juga pendidikan hanya akan mencetuskan pelbagai permasalahan yang mungkin akan timbul pada masa hadapan. Penulis berpendapat, adalah wajar untuk badan-badan NGO dan kerajaan untuk pro-aktif dalam menangani perkara ini di peringkat awal daripada merasa sesal di kemudian hari.

Satu dekad konflik kemanusiaan Syria, semoga ia memberi ibrah dan pengajaran yang berguna untuk kita semua, betapa nilai keamanan sesebuah negara itu tiada tolok bandingannya dengan apa pun. Sebagai sebuah refleksi, andai kita tidak melakukan sesuatu untuk menjaga dan memelihara nyawa manusia , maka dimanakah duduknya dhomir dan nilai kemanusiaan dalam diri kita? Penulis mengajak kita semua untuk menzahirkan rasa syukur dengan berkongsi kebahagiaan dengan mereka yang kurang bernasib baik, bukan sahaja untuk Syria, tetapi untuk semua. Salam keamanan sejagat.









Syahrir Azfar bin Saleh Penulis merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia for Syria yang juga bertugas selaku Ketua Pegawai Operasi Global Peace Mission (GPM) Malaysia.

Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun : MALAYSIAN LIFE LINE FOR SYRIA BERHAD

Maybank : 564810513971 Bank Islam : 14210010009882 Atau layari www.infaksyria.com

117 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
bottom of page